REFLEKSI MINGGUAN
MINGGU PERTAMA
Minggu pertama merupakan minggu
pengenalan kepada subjek ini iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu
Berbantukan Komputer (BMM3106). Topik untuk minggu pertama ialah Penggunaan
Enjin Pencarian Bahan Bahasa Melayu. Terdapat banyak pengetahuan dan kemahiran
yang telah penulis lalui semasa melaksanakan tugasan amali minggu pertama ini.
Antara kemahiran yang penulis telah
pelajari dan aplikasi dalam pembelajaran penulis ialah penulis belajar
bagaimana menggunakan kata kunci dan frasa yang sesuai untuk mendapatkan bahan
pengajaran Bahasa Melayu untuk mengakses ataupun mencari sesuatu bahan
pengajaran itu sama ada dalam bentuk web, video, audio dan imej. Sebelum ini
penulis tidak menyedari bahawa sesuatu bahan yang hendak dicari itu khususnya
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu memerlukan kemahiran yang khusus untuk
mencari bahan menggunakan kata kunci dan frasa yang khusus agar bahan itu mudah
diakses dan didapati serta lebih tepat. Maka, melalui amali pengajaran dan
pembelajaran ini penulis telah mempelajari satu kemahiran yang penulis tidak
sedari selama ini.
Dalam minggu ini juga penulis telah
belajar bagaimana untuk menyimpan bahan yang dicari itu dalam bentuk fail dan
juga internet. Melalui amali ini, penulis belajar bagaimana untuk menyimpan
bahan yang dicari itu dalam bentuk alamat internet, fail internet, dan katalog
internet. Selain itu, penulis juga telah belajar untuk lebih mengkhususkan
bahan tersebut mengikut kategori dan pengkhususan yang spesifik agar bahan itu
mudah untuk digunakan sebagai bahan bantu pengajaran dan pembelajaran semasa
berada di sekolah nanti.
MINGGU KEDUA
Minggu kedua memerlukan penulis untuk
melaksanakan amali mencari dan memilih bahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu menggunakan enjin carian di internet. Bahan-bahan yang penulis cari dan
pilih tersebut adalah dalam bentuk audio, video, grafik dan teks serta
mengumpul bahan tersebut dalam folder mengikut kemahiran lisan, membaca dan
menulis. Melalui amali ini, penulis secara tidak langsung dapat mengumpul dan
mencari bahan-bahan pengajaran dalam Bahasa Melayu yang penulis dapat jadikan
sebagai bekalan bahan bantu mengajar semasa di sekolah nanti. Pengumpulan bahan
tersebut dalam folder mengikut spesfikasi kemahiran bahasa juga dapat membantu
penulis untuk menggunakana bahan tersebut semula dengan mudah sebagai bahan
pengajaran kelak.
Sehubungan dengan itu, penulis juga
belajar bagaimana menggunakan bahan yang dicari dan disimpan itu sesuai untuk
digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran murid-murid di sekolah dan
penulis menyedari bahawa guru hendaklah bijak untuk menggunakan bahan tersebut
sebagai bahan yang dapat membantu pembelajaran murid. Maka, melalui amali
tugasan minggu ini penulis telah banyak belajar bagaimana untuk mencari dan
menyimpan pelbagai bahan pengajaran yang sesuai untuk diaplikasikan murid di
samping penulis juga belajar bagaimana untuk menggunakan bahan tersebut agar
dapat membantu dan mempermudahkan proses pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran
dalam kelas khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
MINGGU KETIGA
Dalam minggu yang ketiga, penulis
dikehendaki untuk mencari dan memuat turun bahan yang mengandungi Garis Panduan
dan Etika Penggunaan Internet. Bahan yang dicari itu juga hendaklah dipindahkan
dalam bentuk persembahan power point dan brosur. Maka, minggu yang ketiga ini
memerlukan penulis mencari dan memindahkan maklumat pengetahuan dan kefahaman
yang khusus kepada peraturan-peraturan dan etika semasa menggunakan perkhidmatan
internet.
Melalui amali ini, penulis telah tahu
dan sedar bahawa penggunaan, pengaksesan, memuat turun, menaik turun dan
sebagainya yang melibatkan bahan dalam bentuk alam maya mempunyai peraturan,
etika dan panduan yang perlu dipatuhi agar bahan yang diakses tersebut tidak
menyalahi dan melanggar mana-mana undang-undang. Selain itu, penulis juga telah
tahu bahawa sesuatu bahan yang diperoleh itu mestilah mempunyai sumber dari
mana diperoleh agar bahan yang digunakan tersebut tidak dimanipulasi oleh mana-mana
pihak dan hak ketulenan bahan tersebut masih ada. Oleh itu, melalui amali yang
dilalui penulis dalam minggu ini telah memberi dan menyedarkan penulis bahawa
bahan yang diakses itu mempunyai haknya tersendiri dan tidak boleh digunakan
atau dieksploitasi sesuka hati tanpa kebenaran.
MINGGU KEEMPAT
Minggu yang keempat memerlukan penulis
untuk mencari bahan-bahan yang dikhususkan dalam mata pelajaran sastera,
tatabahasa, dan ilmu serta bidang lain. Bahan-bahan yang dicari tersebut
hendaklah dikategorikan mengikut folder dan sub-folder agar bahan yang dicari
serta disimpan itu mudah untuk digunakan apabila diperlukan sebagai bahan bantu
pengajaran dan pembelajaran semasa di sekolah nanti.
Selain itu, bahan-bahan yang dicari
dan disimpan mengikut folder bukan sahaja semata-mata untuk penulis memahiri
sesuatu kemahiran yang melibatkan pengajaran berbantukan komputer, malah
tugasan yang diberikan juga sebenarnya banyak menyediakan penulis untuk
mempelbagaikan bahan pengajaran dan pembelajaran melalui konsep
penggabungjalinan mata pelajaran dalam Bahasa Melayu. Bahan-bahan seperti ilmu
dan bidang lain selain Bahasa Melayu yang disimpan dalam satu folder tersebut
banyak membantu penulis untuk mencari dan mengumpul bahan mengikut kategori
mata pelajaran agar bahan pengajaran tersebut dapat diakses dan digunakan
dengan mudah sebagai bahan penggabungjalinan mata pelajaran dalam pengajaran
dan pembelajaran Bahasa Melayu kelak.
MINGGU KELIMA
Tugasan minggu kelima mengkehendaki
penulis untuk membina dan menggunakan tapak dan laman web pembelajaran dalam
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Di akhir pembelajaran pada minggu
kelima ini, penulis akan dapat membina tapak pembelajaran dan juga laman web
bagi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Oleh itu, amali pada minggu ini
dapat memberi penulis satu lagi pengetahuan dan juga kemahiran dalam membina
laman web sendiri sebagai satu kemahiran di mana penulis dapat berkongsi ilmu
dan pengetahuan serta kemahiran dengan rakan-rakan laman yang lain.
Melalui tugasan ini, banyak perkara
baru yang penulis pelajari dan mahiri. Antara kemahiran yang penulis dapat
pelajari ialah bagaimana untuk membina tapak pembelajaran. Sebelum ini penulis
hanya tahu menggunakan sesuatu tapak pembelajaran itu yang dihasilkan oleh
individu lain namun melalui tugasan ini penulis dapat merasai sendiri
pengalaman bagaimana untuk membina laman. Laman yang penulis hasilkan adalah
khusus untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Melaluinya, penulis
dapat memindahkan sesuatu pengajaran tersebut dalam bentuk pembelajaran kendiri
yang boleh digunakan oleh individu tertentu tanpa pengajaran guru. Ini
sebenarnya dapat memberi dan meningkatkan lagi pengetahuan seseorang individu
tersebut melalui kerja sendiri di samping dapat menghasilkan sesuatu
pembelajaran yang berkesan kerana mudah untuk digunakan, arahan yang ringkas,
penuh dengan grafik, berwarna-warni dan sebagainya. Selain itu, melalui
pengetahuan dan kemahiran ini penulis juga dapat menggunakannya sebagai bahan
bantu mengajar yang mana dapat memudahkan lagi satu-satu proses pengajaran
tersebut.
Di samping itu, tugasan minggu ini
juga dapat memberi pengetahuan dan kemahiran yang kepada penulis untuk membina
laman sendiri. Melalui laman sendiri, penulis juga dapat berkongsi bahan dan
idea yang sesuai dengan fokus mata pelajaran Bahasa Melayu agar bahan yang
dihasilkan tersebut dapat memberi manfaat sekaligus dapat memajukan lagi
perkembangan dan kemajuan dalam meningkatkan lagi penggunaan Bahasa Melayu
sesuai dengan edaran teknologi semasa. Sehubungan dengan itu, laman web yang
dihasilkan juga bukan sahaja dapat penulis berkongsi bahan dengan rakan lain
malah dapat bertukar-tukar pandangan mengenai sesuatu topik yang dibincangkan
agar pengetahuan dan pengalaman itu dapat dikembangkan seterusnya dapat memberi
manfaat yang berguna kepada semua pelayar laman agar terus dapat memberi
sumbangan khususnya melalui Bahasa Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan