Khamis, 4 September 2014

SELAMAT DATANG

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU BERBANTUKAN KOMPUTER 
(BMM 3053)
PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN



PENDAHULUAN

Tidak dapat dinafikan bahawa kepelbagaian kaedah penyampaian semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung mampu memberikan motivasi tempatan kepada murid-murid terhadap pengajaran tersebut (Moores, 1987). Penggunaan kaedah tradisional seperti “chalk and talk” kini menjadi kurang relevan. Isu ini sering dijadikan bahan perbualan di kalangan pentadbir pendidikan dalam usaha memartabatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah. Pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1982 dan diikuti oleh pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1988 telah menekankan kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang mengutamakan aktiviti murid. Pendek kata kata konsep pengajaran dan pembelajaran bukan lagi daripada guru kepada murid, tetapi murid kepada guru dan murid kepada murid. 
                  Dalam hal ini penggunaan beberapa instrumen pengajaran dan pembelajaran juga semakin meningkat. Dalam hal ini, peranan komputer kini dikatakan mendominasi sistem pengajaran dan pembelajaran. Mengapa berlaku demikian? Ini semua disebabkan oleh konsep komputer itu sendiri yang dapat memberikan sangat banyak pilihan kepada penggunannya seperti penggunaan video, audio, grafik, bunyi dan sebagainya.
               Gesaan kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam memperkasakan penggunaan komputer ini sebagai medium pengajaran sebenarnya mula kelihatan pada tahun Januari 1999, apabila KPM menperkenalkan konsep Sekolah Bestari. Pihak kerajaan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia telah membekalkan kemudahan komputer dalam proses mewujudkan Sekolah Bestari. Pada tahun 2005 sebanyak 90% sekolah di seluruh negara telah dibekalkan dengan kemudahan komputer. Sebanyak 5,037 buah sekolah mempunyai dan terdapat 5,026 unit server telah dipasang di sekolah-sekolah di seluruh negara di makmal komputer, sejumlah 133,724 unit komputer telah dibekalkan di sekolah-sekolah ternasuk sekolah-sekolah di luar bandar.


PENGAJARAN &  PEMBELAJARAN BERBANTUKAN KOMPUTER

Pengajaran Pembelajaran berbantukan komputer (PPBK) telah menjadi suatu perkara penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Ini kerana penggunaan PPBK ini secara terancang akan menghasilkan pembelajaran yang berkesan, aktif dan bermutu. Di sekolah-sekolah di negara kita, perisan PPBK ini selalunya dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Bahagian Teknologi Pendidikan. Apakah yang dimaksudkan dengan PBK. Menurut Sander (1987), PPBK merupakan suatu situasi pembelajaran di mana pelajar-pelajar berinteraksi dan dibimbing komputer melalui satu proses pembelajaran yang terancang untuk mencapai matlamat pembelajaran tertentu. Manakala Moursund (1980) pula menyatakan PBK ini adalah untuk menyampaikan pengajaran kepada pelajar-pelajar, di mana berlaku interaksi antara sistem komputer dengan pelajar-pelajar untuk membantu mereka tentang bahan yang dipelajari.
               Secara umumnya, PPBK ini mengandungi nota, soalan dan ulangkaji. Kebolehan komputer dalam mengintegrasikan unsur-unsur video, bunyi, teks dan grafik untuk membentuk perisian ini. Ini sudah tentu membawa makna besar dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, khusunya dalam bidang pendidikan. Dengan kata lain PPBK ini merujuk kepada penggunaan alat pengarangan yang mengabungkan media video, bunyi, teks, animasi dan grafik bagi tujuan menyampaikan maklumat dengan cara yang bermutu serta berkesan.

KELEBIHAN PENGAJARAN BERASASKAN KOMPUTER

  • Terdapat banyak kelebihan menerusi pengajaran berasaskan komputer. Antaranya adalah dapat meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid terhadap pelajaran. 
  • Mengikut penyelidikan yang telah dlakukan oleh pakar-pakar alat pandang dengar, konsep kefahaman dan pengetahuan yang diperolehi oleh manusia adalah 75% melalui deria pandang, 13% daripada deria dengar, 6% daripada deria sentuh, 3% daripada deria rasa dan 3% daripada deria bau. (Mok Soon Sang, Lee Shok Mee,1986). 
  • Berdasarkan kajian ini, jelas menunjukkan bahawa pancaindera pandang dan dengar penting dalam proses pembelajaran. Bahan bantu mengajar berasakan komputer semestinya banyak memerlukan pancaindera pandang dan dengar. 
  • Hal ini sangat relevan dalam meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid terhadap pelajaran.
  • Kelebihan yang seterusnya adalah guru dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa, menyeronokkan dan mencabar. 
  • Hal ini selaras dengan teknologi yang pendidikan bertujuan untuk mewujudkan suatu suasana yang kondusif bagi pengajaran dan pembelajaran. 
  • Wayne F. Virag (1976) berpendapat “seseorang individu dalam suasana pembelajaran adalah tertakluk kepada pelbagai bahan pengajaran, teknik-teknik dan peringkat-peringkat penyampaian pengajaran…suasana pembelajaran ini pula dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti kaedah penyampaian dan bahan pengajaran yang digunakan dalam suasana fizikal yang direka untuk pembelajaran.” 
  • Penggunaan teknologi juga boleh memberi pengalaman sebenar yang dapat merangsang aktiviti sendiri dalam kalangan pelajar dan membina pemikiran yang berterusan. 
  • Hal ini dapat dilahirkan menerusi aktiviti yang mencabar dalam pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer. 
  • Oleh yang demikian, jelas menunjukkan bahawa suasana pembelajaran yang selesa, menyeronokkan dan mencabar dapat diwujudkan menerusi pengajaran yang menggunakan komputer serta perisiannya sebagai alat pengajaran.
  • Seterusnya pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer dapat meningkatkan motivasi dan minat murid dalam pembelajaran. 
  • Hal ini selaras dengan pendapat Jonassen (1996) yang menyatakan, para pelajar yang mendapat bahan pengajaran melalui komputer mempunyai motivasi yang tinggi untuk  belajar. 
  • Apatah lagi jika pendekatan yang digunakan berbentuk permainan pendidikan. 
  • Hal ini menunjukkan menerusi pendekatan permainan pendidikan, murid akan lebih tertarik dan semakin bersemangat untuk mengikuti sesebuah pembelajaran.
  • Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer juga bertujuan untuk memudahkan kerja seseorang guru dalam penyampaian maklumat pelajaran. 
  • Penggunaan bahan teknologi pendidikan yang boleh dilihat dan menghasilkan bunyi dan suara telah didapati memberikan banyak faedah seperti melicinkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran, menjimatkan masa dan tenaga, mengelakkan kebosanan pelajar dan mengelakkan berlakunya salah tafsir atau tidak faham. 
  • Penggunaannya juga akan memberikan kelainan (variasi) kepada kaedah mengajar, misalnya dengan menggabungkan kaedah dan alat (penggunaan perisian pembelajaran), membolehkan pelajar mengulangi pelajaran secara sendirian dan juga membantu pelajar-pelajar mendapat kesan pembelajaran yang maksimum dengan penggunaan masa yang minimum.
  • Tuntasnya, pengajaran berasaskan komputer mempunyai kekuatan dalam aspek-aspek yang tertentu. Tambahan lagi, adalah sangat wajar guru mengintegrasikan pelajaran menerusi teknologi maklumat.